Tuesday, January 29, 2008

Pendaratan cemas tersasar 350 kilometer

Coretan Angkasawan: Pendaratan cemas tersasar 350 kilometer
Oleh Dr Sheikh Muszaphar Shukor


KAPAL Soyuz selepas membuat pendaratan cemas.
Kami berpusing-pusing dan melambung-lambung di dalam kapal Soyuz PADA 21 Oktober 2007 hari terakhir saya berada di angkasa lepas. Tidak sangka masa berlalu begitu pantas. Segala eksperimen saintifik sudah selesai. Hati ini berasa begitu berat untuk kembali ke bumi. Banyak memori manis yang tidak akan dilupakan. Setiap detik ketika saya berada di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) dicatatkan di dalam buku nota kecil supaya dapat berkongsi bersama seluruh rakyat Malaysia. Semua hasil eksperimen termasuk bahan simbolik seperti Jalur Gemilang, Rukunegara dimasukkan ke dalam Soyuz yang akan membawa kami pulang. Krew Yuri Malanchenko dan Peggy Whitson akan meneruskan cabaran berada di ISS selama enam bulan manakala saya pulang bersama Fyeodor Urchikin dan Oleg Kotov yang menamatkan tempoh enam bulan di ISS.

Perasaan sedih menyelimuti diri. Namun saya tidak pasti mengapa. Mungkin kerana ini adalah impian saya sejak berumur 10 tahun lagi. Mungkin kerana saya berasa sungguh tenang dapat merasai kebesaran Allah sepanjang berada di angkasa. Sedang saya bersiap sedia membuat persiapan terakhir, kedengaran suara azan. Ia seolah-olah datang dari dalam ISS. Saya melihat sekeliling pada krew yang lain tetapi mereka sibuk dengan tugas masing-masing. Saya dapat mendengar dengan jelas suara azan itu. Sungguh merdu lagi menyayat hati. Saya sedar ini adalah kebesaran Allah. Saya sedar misi saya di angkasa sudah berakhir dan kini tiba masanya untuk saya kembali ke bumi dan menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang angkasawan. Misi saya di ISS sudah selesai. Kami memasuki kapal Soyuz yang sempit lagi kecil dengan pakaian angkasa lepas. Pakaian ini akan melindungi krew ketika memasuki lapisan atmosfera bumi dengan ketinggian suhu 8000 darjah Celsius dan sekiranya bekalan oksigen terputus. Ia mengambil masa 3 jam untuk Soyuz berpisah dari ISS dan mengelilingi orbit sebelum memasuki lapisan atmosfera. Segalanya mengikut perkiraan .

WAJAH gembira seorang angkasawan selepas berjaya membawa misi negara di angkasa lepas.
Tiba-tiba kami melihat tanda kecemasan terpancar pada monitor kapal Soyuz. Ini bermaksud kami akan melalui "ballistic re-entry" atau pendaratan kecemasan. Segala-galanya berlaku dengan begitu pantas. Kami berpusing-pusing dan melambung-lambung di dalam kapal Soyuz. Kami mula merasakan tekanan graviti menekan dada. Dari 2G ia meningkat kepada 9G. Bermakna 9 kali berat badan menghempap dada. Ini membuatkan kami sukar untuk bernafas tetapi kami sudah dilatih untuk bernafas menggunakan abdomen. Pemikiran saya ketika itu hanya kepada eksperimen saintifik yang berada di dalam Soyuz. Saya berdoa supaya eksperimen itu tidak terjejas apabila melalui goncangan yang begitu kuat. Saintis tempatan sudah bekerja keras untuk menghasilkan eksperimen berkenaan dan ia adalah keutamaan saya ketika itu. Tiga buah payung terjun dilepaskan untuk memperlahankan impak pendaratan pada ketinggian 11.5 kilometer. Saya dapat melihat kepulan api membara melalui tingkap Soyuz. Ketika itu komunikasi sudahpun terputus. Pada ketinggian 1.5 km thrusters dilepaskan di bawah permukaan Soyuz untuk mengurangkan lagi impak pendaratan. Saya masih berasakan hentakan yang begitu kuat apabila soyuz mencecah bumi. Akhirnya kami mendarat selepas melalui pendaratan yang mencemaskan selama 15 minit. Masing-masing masih terikat pada tempat duduk . Bara api dan kepulan asap mula memasuki Soyuz melalui ventilasi yang terbuka secara automatik. Mujur baju angkasa membantu kami bernafas melalui oksigen yang dibekalkan. Komander Soyuz bertindak pantas menutup ventilasi dan memastikan keadaan kami selamat. Kami tidak mampu bergerak memandangkan badan berasa begitu berat. Kami cuma mampu menunggu sehingga kumpulan penyelamat tiba.
DR Sheikh Muszaphar terus menghubungi ayahnya menggunakan telefon kecemasan sebaik Soyuz selamat mendarat.

Kami terpaksa menunggu 40 minit sebelum pintu dibuka. Memandangkan tempat yang begitu sempit kami dibawa keluar dan di papah mengikut giliran. Badan kami terlalu lemah untuk berjalan dengan sendiri. Keadaan mikrograviti di angkasa membuatkan otot menjadi kecil dan tulang menjadi rapuh . Ini adalah kesan mikrograviti terhadap angkasawan yang berada di angkasa. Kami didukung dan diletakkan di atas padang gurun Kazakhstan yang terbentang luas. Saya sedar kami terbabas sejauh 350 km dari sasaran. Saya diberi makan epal sambil menghirup udara bumi yang segar. Sambil menanti pakar perubatan dan kumpulan penyelamat yang lain , saya menelefon ayah saya menggunakan telefon kecemasan yang berada di dalam kapal Soyuz. Saya bersyukur kerana selamat kembali ke bumi dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan misi ini berjaya. Ini adalah kejayaan kami bersama ! Kejayaan Malaysia! Kejayaan negara tercinta!