Tuesday, January 15, 2008

Puasa

Saum Asyura hapuskan dosa setahun

Oleh: Abd al-Razzaq A Muthalib


ALLAH mengutamakan kelebihan yang banyak pada hambanya, barang siapa yang meningkatkan amal pada bulan Muharam. Antaranya berpuasa sunat. Antara hadis sahih yang membicarakan amalan puasa pada Muharam adalah mengenai puasa hari Asyura (10 Muharam, Sabtu ini),

iaitu: 1. Ibn Abbas meriwayatkan yang bermaksud: Apabila Nabi Muhammad saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, lalu Baginda bertanya:
Apakah ini?? Mereka menjawab: Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa.?

Lalu Baginda bersabda: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu.
Maka, Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa. (Hadis riwayat al-Bukhari)

2. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari Asyura dan apabila telah difardukan puasa Ramadan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari Asyura), maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka, maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa). (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

3. Dari Aisyah berkata dan bermaksud: Orang Quraisy pada zaman jahiliah berpuasa pada hari Asyura, dan Rasulullah juga berpuasa pada hari Asyura. Maka, apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardukan kewajipan puasa Ramadan, ditinggalkan puasa pada hari Asyura, lalu Baginda bersabda: Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Ini adalah beberapa contoh hadis sahih yang menyebut mengenai puasa pada hari Asyura. Daripada hadis itu dapat difahami bahawa puasa pada hari Asyura adalah perkara yang wajib sebelum difardukan puasa Ramadan. Apabila difardukan puasa Ramadan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini gugur. Bagaimanapun, ia digalakkan dan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Perkara ini adalah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-Asqalani (w 852) dan al-Imam Muslim (w 676) ketika menghuraikan hadis mengenai puasa Asyura.(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum Asyura 4/245).

Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amat besar.Antaranya seperti diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): Bahawa Rasulullah ditanya mengenai puasa hari Asyura, lalu Baginda menjawab: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu. (Hadis riwayat Imam at-Tirmizi).

Dalam riwayat lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari Asyura. Hal ini seperti yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya mengenai puasa pada hari Asyura, lalu berkata: Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan di atas bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu Ramadan. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Selain pada hari Asyura, umat Islam digalakkan berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharam. Perkara ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya:

4. Daripada Ibn Abbas berkata bermaksud: Ketika Rasulullah berpuasa pada hari Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah bersabda lagi: Sekiranya pada tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9. Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun depan, Rasulullah wafat terlebih dulu." (Hadis riwayat Imam Muslim).

5. Daripada Ibn Abbas berkata, bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: Sekiranya aku masih hidup hingga tahun depan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9. (Hadis riwayat Muslim)Imam al-Nawawi (w 676) dalam menghuraikan hadis di atas menukilkan pendapat Imam Al-Syafie dan ulama dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan sebagainya bahawa mereka berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10.

Perkara ini kerana Nabi berpuasa pada hari ke-10 (Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: Sebahagian ulama berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, (Beirut: Dar al-Ma?rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).

Justeru, rebut peluang pada bulan ini untuk menambah amalan dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Baginda bersabda bermaksud: Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah yang kamu panggilnya Muharam. (Hadis riwayat Imam al-Nasaie dengan sanad yang sahih).

Penulis adalah daripada Jabatan al-Quran dan al-Sunnah, Kuliyah Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Thursday, January 10, 2008

Sejarah Solat 5 Waktu

Sejarah Solat 5 Waktu (Tranungkite Online)
Posted on Thursday, January 10 @ 06:34:53 MYT by SongkokPutih

Nabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.


SUBUH

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

i) Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
ii) Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.


ZOHOR

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

i) Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan. ii) Rakaat kedua: Tanda bersyukur
kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
iii) Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
iv) Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.


ASAR

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

i) Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
ii) Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
iii) Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
iv) Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.


MAGHRIB

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

i) Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
ii) Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam
yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
iii) Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT
semata-mata, tiada dua atau tiganya.


ISYAK

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

i) Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
ii) Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
iii) Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
iv) Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

Thursday, January 3, 2008

Pertanyaan yang jawapannya telah disediakan sebelum kita dilahirkan

DIPETIK DARI NUKILAN TRANUNGKITE. DOT. NET:



1) KITA BERTANYA:KENAPA AKU DIUJI?



ALLAH S.W.T.MENJAWAB DENGAN FIRMANNYA:
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan;"Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta."

Surah Al-Ankabut ayat 2-3



2) KITA BERTANYA:KENAPA AKU TIDAK DAPAT APA YANG AKU INGINKAN?



ALLAH S.W.T. MENJAWAB DENGAN FIRMANNYA:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu,dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui."

Al-Baqarah ayat 216



3) KITA BERTANYA:KENAPA UJIAN SEBERAT INI?



ALLAH S.W.T. MENJAWAB DENGAN FIRMANNYA:
"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya."

Surah Al-Baqarah ayat 286



4) KITA BERTANYA:KENAPA MUDAH RASA SEDIH DAN KECEWA?



ALLAH S.W.T. MENJAWAB DENGAN FIRMANNYA:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman."

Surah Ali-Imran ayat 139



5) KITA BERTANYA:KENAPA MESTI BERSABAR?



ALLAH S.W.T. MENJAWAB DENGAN FIRMANNYA:
"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh,di medan perjuangan),dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan)serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya(mencapai kemenangan)."

Surah Ali-Imran ayat 200



6) KITA BERTANYA:BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?



ALLAH S.W.T. MENJAWAB DENGAN FIRMANNYA:
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah S.W.T.) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk"

Al-Baqarah ayat 45



7) KITA BERTANYA:APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?



ALLAH S.W.T. MENJAWAB DENGAN FIRMANNYA:
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka...... "

Surah At-Taubah ayat 111



8) KITA BERTANYA:BAGAIMANA JIKA AKU TIDAK MAMPU BERTAHAN?



ALLAH S.W.T. MENJAWAB DENGAN FIRMANNYA:
"dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir."

Surah Yusuf ayat 12



9) KITA BERTANYA:KEPADA SIAPA AKU MESTI BERHARAP?



ALLAH S.W.T. MENJAWAB DENGAN FIRMANNYA:
"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal."

Surah At-Taubah ayat 129



Wallahu a’lam.

Wednesday, December 19, 2007

Sesuatu yang perlu di renungkan

Ini adalah satu ingatan yang telah disampaikan oleh sahabat saya untuk kita renungkan dan amalkan semuga kita mendapat rahmat dan keredhaan dari NYA ( Allah S.W.T.)


Renung - Renung kan lah Hakikat Hidup ini ..........................

HIDUP KITA CUMA DI DALAM 3 HARI

Semalam ~ Sudah menjadi sejarah.
Hari Ini ~ Apa yang sedang kita lakukan.
Esok ~ Hari yang belum pasti .

Hisablah hari pertama semoga hari yang kedua kita lebih baik kerana mungkin ajal kita pada hari yang kedua.

HIDUP CUMA DALAM 2 NAFAS

Nafas Naik.
Nafas Turun.

Hargailah Nafas yang naik kerana udara yang disedut adalah pemberian Allah secara percuma dan carilah keredhaan~Nya dalam menggunakannya.

Bertaubatlah dalam Nafas yang kedua kerana mungkin itu nafas yang terakhir keluar dari tubuh bersama nyawa dan roh untuk meninggalkan dunia yang fana ini.

HIDUP CUMA ADA 2 PILIHAN

Hidup dalam keredhaan Allah.
Hidup dalam kemurkaan Allah.

HIDUP YANG ABADI CUMA ADA 2 TEMPAT.

Kekal di dalam neraka.
Kekal di dalam syurga.

Ingatlah kecelakaan neraka itu amat mengerikan dan kita hanya di yakinkan oleh keyakinan kita kepada rukun IMAN. Rukun Iman itu pula ada 6 dan apa bila hilang salah satu daripadanya maka hilanglah ia.

Kelazatan dan kesejahteraan syurga itu maha HEBAT. Tidak terduga oleh fikiran kita dan untuk mendapatkannya terjemahkan rukun ISLAM yang 5 itudan puncaknya adalah SOLAT ... Amat sukar untuk dipercayai bagi yang ingin ke SYURGA tetapi tidak bersolat, umpama seorang yang mahu menaiki kapal terbang, tetapi tidak mempunyai boarding pass.

Dan mereka yang sengaja melalaikan solat, umpama mengeposkan sepucuk surat tanpa melekatkan setem ...apabila ditanya bagaimana surat itu akan sampai pada penerimanya ... lalu dia pun berkata setemnya akan dihantar kemudian.

Ada 2 penyelesaian dalam kes ini : Dia mungkin didenda ... atau, suratnya masuk tong sampah.
Oleh itu, tidakkah kita semestinya bersyukur atas segala nikmat yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita ...

Sekurang-kurangnya Allah telah memberi udara secara percuma untuk kita berzikir mengingati~NYA( Allah S.W.T.) setiap detik dan ketika, hinggalah kita kembali kepada Allah S.W.T. dalam keadaan jiwa yang Tenang...lalu masuk ke dalam syurga dalam keadaan kita redha dan Allah S.W.T. meredhai.

Semoga kita semua berbahagia & sejahtera senantiasa... di dunia juga di akhirat kelak serta di dalam rahmat Allah S.W.T.

Amin.........Amin Ya rabal a'alamin......

Sunday, December 2, 2007

Kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah


Terbaca satu risalah Agama yang boleh di kongsi bersama. Risalah ini yang di muatkan didalam Utusan Malaysia 3 haribulan Disember 2007. Sila baca dan sebaiknya amalkan.



Bicara Agama
Kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah
Oleh: NAZMI AIDARUS

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah.

Para sahabat baginda bertanya, Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah? Ujar Baginda, Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.
Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).

Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda, “Seutama-utama hari adalah hari Arafah”.

Amalan yang dianjurkan padanya

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya : Sabda Nabi s.a.w.: “Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia adalah pilihan Allah seperti yang dinyatakan di dalam sebuah hadis qudsi, “Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Imam Muslim meriwayatkan dari Abi Qatadah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah s.w.t yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum), hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari di bulan Zulhijjah. Sebab itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, di antaranya, “Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah)”.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.

5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana semuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun kecil tetapi ia lebih disukai oleh Allah dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.
Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zuhur hari raya haji (10 Zulhijjah), semuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.

7. Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah Nabi Ibrahim a.s. setelah Allah s.w.t mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim meriwayatkan dari Ummu Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, (Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya).

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha menunaikan solat hari raya secara berjemaah, mendengar khutbah oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya.
Sepatutnyalah kita mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini. Ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan. Janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan maksiat, kesombongan, pertengkaran dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan yang dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Peristiwa Sejarah Bulan Zulhijjah

Di sebalik bulan Zulhijjah yang terkenal dengan bulan haji, ia juga mencatatkan beberapa peristiwa di dalam diari sejarah pembinaan dan perjuangan umat Islam. Ia menjadi nadi dan titik-tolak kepada pengukuhan akidah dan pemantapan sahsiah serta kekuatan ukhwah ummat di dalam meneruskan perjuangan Baginda s.a.w. Antara peristiwa tersebut adalah:

1. Nabi Muhammad s.a.w membawa dagangan Khadijah ke negeri Syam, di sana baginda diberitahu tentang kenabiannya oleh pendita Nasthurah. Ia berlaku pada tahun kelima sebelum pelantikan baginda menjadi nabi.

2. Peristiwa Baiah Al-Aqabah (perjanjian setia Al Aqabah) pada tahun ke-13 selepas pelantikan baginda menjadi nabi. Ia disertai oleh 73 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kaum Aus dan Khazraj.

3. Peperangan As Sawiq pada tahun kedua Hijrah, Nabi s.a.w keluar mengekori kumpulan Abu Sya’ban yang menceroboh dan memerangi penduduk pinggir kota Madinah. Semasa melarikan diri mereka mencampakkan guni-guni gandum yang dibawa bagi mempercepatkan perjalanan supaya tidak dapat diekori oleh baginda.

4. Pada 7 Zulhijjah tahun kelima Hijrah satu kumpulan tentera Islam dihantar ke perkampungan Bani Sulaim yang diketuai oleh Ibnu Abi Al ‘Arjak.

5. Kelahiran Ibrahim putera Nabi s.a.w pada tahun kelapan Hijrah, ibunya bernama Mariyah Al Qibtiyah.

6. Pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi s.a.w mengerjakan ibadah Haji yang dikenali dengan Hajjatul Wada’. Di sana baginda menyampaikan amanat-amanatnya yang kesemuanya adalah peraturan dan aturcara kehidupan di dalam Islam.

7. Abu Bakar As Siddiq mengerjakan ibadah Haji bersama umat Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w pada tahun 12 Hijrah.

8. Peperangan Dathin yang dipimpin oleh Umamah Al Bahiliy menentang tentera Rom, berakhir dengan kemenangan tentera Islam.

9. Kemenangan tentera Islam yang diketuai oleh Yazid bin Abi Sya’ban menentang tentera Rom yang dikepalai oleh Sarjius di dalam pertempuran Wadi ‘Arabah di Palestin.

10. Pada tahun 23 Hijrah, Khalifah Umar Al Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu’luah Al Majusi.

11. Pelantikan Uthman bin ‘Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara oleh sebuah majlis Syura yang ditubuhkan oleh Umar Al Khattab sebelum kematiannya.

12. Pelantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan pada tahun 35 Hijrah.

13. Kematian Yahya bin Aktham seorang ulama dan panglima tentera Islam pada tahun 242 Hijrah di Rabdah, sebuah kota di pinggir Madinah semasa berusia 82 tahun, pernah menjadi hakim kota Basrah, kadi besar dan penasihat kerajaan.

- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Terengganu.

Tuesday, November 27, 2007

Semalam yang ditinggalkan


Begini lah lumrah alam, hari-hari semalam ditinggalkan. Kadang kala ada yang mengembirakan kadang kala sebaliknya. Mungkin aku tidak dapat memenuhi setiap waktu untuk mengisi blog ini. Namun begitu sebaik mungkin bila terdapat ruang akan aku kemas kinikannya. Sebenarnya aku ingin benar untuk memasukkan gambar anak kedua dalam blog ini tapi aku tidak dapat menbuka Note book ku kerana sudah rosak. Ini lah bila virus bermaharajalela, lupa saja untuk kemaskini Anti Virus, virus menyerang.




Dekat opis tidak boleh pula download sebarangan kerana ada firewall yang tidak membenarkan untuk web tertentu. Jadi terpaksa lah tunggu Note book dibaiki dan download dari rumah sahaja. Hari Jumaat Emak mentua dan adik Ipar berkunjung. Meriah sedikit rumah aku. Hari Sabtu aku mengikuti adik Ipar ke Jalan Taib beri barang borong. Banyak yang di belinya untuk berniaga.






Hari Isnin, aku cuti kecemasan lagi masalah kesihatan. Selasa seperti biasa naik kerja, bertambah lah kerja kerana semalam cuti tapi dapat diselesaikan juga. Anak sulong aku sudah dapat kerja kilang dekat dengan rumah. Bermula hari Rabu. Suka dia. Bagi aku tidak kira apa jenis kerja tapi biarlah yang halal dan dapat juga dia wang untuk berbelanja. Ok lah sampai sini coretan aku kali ini......

Wednesday, November 21, 2007

Semalam cuti hari ini kerja


Apa lagi sudah puas bersantai dengan keluarga semalam, hari ini berkerja. Bertimbun lah kerja-kerja yang perlu disiapkan. Balik kerja sampai pukul 9.00 malam. Pada mula nya aku sudah bersiap hendak balik pukul 6.15 petang tapi bila hendak keluar Boss besar(GM) datang minta tolong carikan infra(laluan) bagi pemasangan Mesin ATM di stesen-stesen Mobil, Caltex dan juga beberapa shopping komplex di beberapa negeri di Semananjung dan di Sarawak.

Alhamdulillah siap semua dan maklumat itu telah diserahkan kepada pihak yang berkenaan untuk membuat tindakan lanjutan. Selepas itu makan free lah ada orang yang belanja. Rasa nya penat bersantai semalam belum hilang lagi balik rumah sampai pukul 9.45 malam. Keletihan amat-amat dirasai. Ini lah manusia tiada kekuatan yang berkekalan, jika itu yang kita ingati bahawa kekuatan kita hanya sementara sahaja jika diizinkan oleh NYA, tapi jika Allah S.W.T. menarik balik kekuatan itu maka akan lemah lah kita.....